The MALINDO DEFENCE Daily

Tuesday, March 2, 2010

MPM atau Suqiu dan Hindraf Yang Lebih Cauvinis?

by Dato Seri Dr. Khir Toyo

1. Penubuhan Majlis Perundingan Melayu (MPM)yang mengandungi 76 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu tidak harus dilihat sebagai satu langkah perkauman melampau seperti mana yang cuba digambarkan oleh kumpulan tertentu.

2. Ramai orang Melayu mungkin tidak sedar kewujudan ribuan NGO kaum Cina, yang sama ada secara berselindung atau tidak bertujuan menjadi kumpulan pendesak kepada kepentingan kaum Cina sama ada dalam bidang kebudayaan, pendidikan mahu pun ekonomi.

3. Dalam bidang pendidikan misalnya terdapat dua pertubuhan kaum Cina yang khusus ingin menjaga kepentingan pendidikan Cina iaitu Gabungan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) dan Gabungan Persatuan-persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zhong). Mereka kerap kali membuat kenyataan bersama sehingga dikenali sebagai Dong Jiao Zhong. Semua orang tahu aksi dan reaksi mereka jika ada Sekolah Jenis Cina ditutup atau digabungkan dalam Sekolah Wawasan suatu ketika dahulu.

4. Ketika orang Melayu masih terikat dengan dogma kepartian Pas - UMNO - Anwar Ibrahim, dan menghadapi perpecahan atas sebab peribadi seorang pemimpin, kaum Cina pula secara senyap bersatu melalui pertubuhan bukan kerajaan untuk mengemukakan pelbagai tuntutan menjelang pilihan raya Umum 1999.

5. Hasilnya muncul Suqiu pada 1999 yang mengumpulkan 2095 persatuan dan pertubuhan Cina di Malaysia dan membuat satu tuntutan yang dinamakan "Rayuan Pilihanraya". Mereka mengemukakan 83 tuntutan di bawah 17 Perkara Rayuan. Rayuan ini disifatkan oleh ramai pihak, termasuk Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu, sebagai satu tuntutan melampau dan bersifat terlalu kecinaan.

MPM: Kuasa Ketiga Melayu?

6. Sepuluh tahun selepas kontroversi Suqiu, orang Melayu dan Islam melihat bahawa gerakan politik Pas, PKR dan UMNO sudah gagal sama sekali menjaga kepentingan mereka.

7. Majoriti orang Melayu yang masih berpegang kepada akar agama Islam, budaya dan bahasa Melayu melihat sedikit demi sedikit hak-hak mereka dalam Perlembagaan dan kontrak kemerdekaan sedang dicabar dan dihakiskan atas nama kesamarataan, keadilan, ketelusan, meritokrasi dan persaingan globalisasi.

8. Lebih mengecewakan mereka pula pemimpin Melayu dari semua parti sibuk bercakap mantera-mantera kapitalis seperti kesamarataan, keadilan, ketelusan, meritokrasi dan persaingan globalisasi. Hari ini pemimpin Melayu dalam semua parti politik "mengambil mudah" (take for granted) kedudukan kuasa undi orang Melayu.

9. Mungkin ini kerana orang Melayu telah dicop sebagai taksuban politik. Jika UMNO maka BN lah undinya biar apa pun terjadi. Jika Pas maka Pakatan Rakyatlah undinya biar pun ijtihad tahun - tahun 80 dan 90 -an telah berpusing 180 darjah dalam alaf baru.

10. Selepas taksub kepada parti politik, orang Melayu taksub pula kepada pemimpin. Kalau penyokong Tun mahathir maka mahathirlah beliau sampai mati. Salah benar bukan isu. Sokongan mesti mutlak. Demikian juga jika ia penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, biar terbakar kelambu, asal nyamuk mati puas hatinya. Jika ia penyokong Datuk Nik Aziz Nik Mat, maka hidup matinya bersama Nik Aziz biar pun adakalanya hujahan beliau kontras antara satu sama lain.

11. Maka ketaksuban-ketaksuban kepada parti politik dan pemimpin politik inilah yang menentukan undi orang Melayu. Orang Melayu tiada kumpulan pendesak dan penggerak yang boleh membentuk pola dan mobiliti arus pengundian orang Melayu bersandarkan kepentingan agama dan bangsa.

12. Orang Melayu tiada Suqiu seperti mana orang Cina yang berupaya menggerakan sokongan pengundi Cina kepada BN pada 1999 dan 2004 serta kepada Pakatan Rakyat pada 2008.

13. Demikian juga kaum India mewujudkan Hindraf sebagai kuasa pendesak kaum India yang berjaya menggembleng sokongan kaum India kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu. Hasilnya kaum India dan Cina diangkat dan didewakan oleh Pakatan Rakyat kerana menyedari kepentingan undi mereka yang berubah mengikut kepentingan kaum mereka.

14. Sementara orang Melayu tidak dipedulikan kerana sebahagian besarnya sudah menjadi taksuban parti Pas, UMNO dan PKRM serta juga menjadi taksuban Nik Aziz, Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad.

15. Ini semua kerana ketiadaan NGO Melayu yang perkasa sebagai kuasa pendesak ketiga (the third force)seperti kaum Cina dan India.

MPM atau Suqiu dan Hindraf Yang Cauvinis?

16. Justeru jika tiada kaum cina dan India yang mengecam dan menuduh Suqiu dan Hindraf sebagai perkauman sempit dan jahat mengapa pula Majlis Perundingan Melayu (MPM) harus dilihat dari sudut yang negatif?

17. MPM hanya bertujuan menjaga kepentingan Bumiputera, Melayu dan Islam seperti mana yang diperuntukan dalam Perlembagaan.

18. Ini sangat bertentangan dengan Suqiu dan Hindraf yang menuntut beberapa perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan untuk kepentingan akum Cina dan India?

19. Jadi siapa yang lebih bersifat perkauman dan cauvinis MPM atau Suqiu dan Hindraf?

20. Saya fikir penubuhan MPM ini memberi makna besar kepada orang Islam dan Melayu keseluruhannya di negara ini. Sudah tiba masanya kita berhenti bersikap menang sorak kampung tergadai.

21. Kita gah menjadi Perdana Menteri, kita gah menjadi Menteri Besar, kita gah Menjadi Ketua Pembangkang, kita gah menjadi Ulama besar, kita gah menjadi Menteri tapi hakikatnya, nasib dan masa depan agama dan bangsa kian kabur dan gelap kerana semuanya dilihat mahu menarik undi bukan Melayu.

22. Orang Melayu tidak menafikan hak dan kepentingan kaum lain di negara ini. Orang Melayu juga tidak menafikan tanggungjawab kerajaan memberi bantuan dan sokongan kepada golongan miskin tanpa mengira kaum mahu pun agama.

23. Apa yang orang Melayu dan juga seluruh bumiputera lihat ialah usaha membantu itu dengan mengorbankan apa yang hak kepada mereka.

Majlis Permuafakatan Bumiputera?

24. Saya juga ingin mencadangkan agar MPM ini dapat pula mengadakan kerjasama dengan NGO-NGO Bumiputera lain tanpa mengira batas agama membentuk Majlis Permuafakatan Bumiputera.

25. Dengan ini selain menjaga kepentingan Melayu dan agama Islam melalui MPM, MPB pula boleh menjaga kepentingan semua kaum yang diiktiraf sebagai bumiputera di negara ini.

26. Ini penting kerana kadang kala apabila kita bercakap hak Melayu, ada kaum bumiputera di sabah dan Sarawak tidak faham bahawa perjuangan tersebut membabitkan hak mereka juga. Ada yang salah faham melihat itu bukan isu mereka sedangkan perjuangan mempertahankan hak pendidikan, biasiswa dan perkongsian ekonomi orang Melayu sebenarnya turut merangkumi kaum pribumi lain.


* This article is the personal opinion of the writer or publication. The blog owner does not endorse the view unless specified. To share the above article, please click the followings:
Digg!Del.icio.us!Google!Live!Facebook!Technorati!StumbleUpon!MySpace!Yahoo! Twitter!LinkedIn! 
 

No comments:

Post a Comment

Please do sign in as for anonymous comment will not be publish by owner...thanks...

1Malaysia (9) Abdullah Badawi (1) affair (1) Allah (8) Alliance (1) altantuya (1) alternative (1) Anwar Ibrahim (2) article 153 (5) australia (2) BN (13) boycott (1) british (1) bumi (2) chinese (2) clause 2.2 (3) colonial (1) constitution (10) danby (1) DAP (19) defense (1) discrimination (1) DNA (1) DPMM (1) DSAI (43) DSNR (5) economy (2) education (1) engine (1) F-5E/F (1) Father as cadet At King Edward VIII circa 1964 (1) FDI (1) financial (1) flotilla (3) gaza (1) Gerakan (1) Gobalakrisnana (1) harakah (1) Hulu Selangor (1) Ibrahim Ali (1) IDF (1) IMF (1) interfaith (1) Iraq (1) Islam (4) JJ (1) Johor (1) judge (2) KadirJasin (1) karpal (1) Kelantan (1) ketuanan (1) kiasu (1) KJ (5) Ku Li (1) Law (1) LGE (12) liberal (1) LKS (9) MACC (1) Mahathir (3) malay (22) Malaya (2) Malaysia (2) MCA (4) MCKK (1) meb (1) melayu (4) Mindef (1) MP (2) MPM (3) najib (5) Nasir Safar (1) nazri chief (1) Nazrin (1) NEM (3) NEP (21) nga (1) ngo (3) nik aziz (1) nizar (5) NKRA (2) nurul Izzah (1) nut graph (1) PAP (1) parliament (3) PAS (13) Pemuda (4) Penang (9) Perak (8) perkasa (11) Pete (1) petroleum (1) PKR (22) ponder (1) PR (29) Pulau Pinang (1) races (1) racist (3) reid (2) religion (1) reuters (1) rights (1) RLC (1) rmc (2) RMN (1) RPK (9) russia (1) sabah (1) saddam (1) sarawak (1) SBA (2) Singapore (2) sodomy (15) submarine (1) sukhoi (2) TAR (2) TDM (10) tony pua (1) TRH (1) TSMY (1) UMNO (29) USA (2) Utusan (1) vietnam (1) WMD (1) women (1) Zaid (1) Zambry (2) zulkifli nordin (7)

Search This Blog

Powered By Blogger