The MALINDO DEFENCE Daily

Wednesday, February 10, 2010

Arifin: Nizar bebas kemuka undi tak percaya terhadap Zambry


TERKINI
PUTRAJAYA, Feb 9 — Barisan Nasional (BN) akan terus mentadbir Perak berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan di sini hari ini yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar yang sah.
Dalam penghakimannya, panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, memutuskan bahawa Sultan Azlan Shah telah melaksanakan hak diraja baginda dengan menitahkan Zambry mengangkat sumpah sebagai menteri besar setelah baginda mendapat kepastian bahawa penentang Zambry, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pakatan Rakyat, telah hilang kepercayaan majoriti anggota dewan undangan negeri.
Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu, berkata tidak terdapat sebarang peruntukan dalam Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak yang mensyaratkan bahawa undi tidak percaya terhadap menteri besar Perak hanya boleh dibuat melalui pengundian dalam dewan undangan negeri.
“Bukti tentang kehilangan kepercayaan terhadap menteri besar boleh diambil daripada sumber lain yang ada. Kami berpendapat, sumber ini, termasuk pengakuan menteri besar itu sendiri dan/atau representasi yang dibuat anggota dewan undangan negeri bahawa menteri besar berkenaan tidak lagi mendapat sokongan majoriti anggota dewan,” kata beliau.
Penghakiman bertulis dikeluarkan beberapa jam selepas keputusan diumumkan beliau.
Arifin berkata dalam kes kini, Mahkamah Rayuan berpendapat terdapat bukti tentang pengakuan itu oleh Nizar sendiri dan satu perkara yang tidak boleh dipertikaikan ialah sokongan yang dipamerkan oleh 31 anggota dewan undangan negeri kepada BN, yang memberi majoriti jelas kepada parti gabungan itu di dalam dewan.
“Semua ini dengan jelas menunjukkan bahawa majoriti anggota dewan undangan negeri telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mohammad Nizar sebagai menteri besar,” katanya.
Dalam penghakiman setebal 41 muka surat itu, Arifin berkata, oleh yang demikian, adalah wajib bagi Nizar mengemukakan surat pengunduran diri daripada dewan eksekutif, sebaik saja mereka hilang kepercayaan daripada dewan.
“Nizar tidak boleh terus mentadbir setelah hilang sokongan majoriti dan membenarkan beliau berbuat demikian adalah bercanggah dengan prinsip asas demokrasi,” kata beliau.
Bagaimanapun, beliau berkata ini bukanlah penghujung jalan bagi perkara berkenaan kerana Nizar bebas mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Zambry di dalam dewan undangan negeri atau mengemukakan representasi kepada Sultan Azlan Shah pada bila-bila masa sekiranya beliau berpendapat Zambry tidak mendapat sokongan daripada majoriti anggota dewan undangan negeri.
Beliau juga berkata keengganan Mohammad Nizar untuk berundur setelah dititahkan berbuat demikian oleh sultan, dengan jelas melanggar peruntukan Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.
Tiga hakim lain ialah hakim-hakim mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinu¬din, Datuk Wira Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong.
Ketika membuat tafsiran tentang Perkara 16 (6), Arifin berkata: “Bukanlah menjadi hasrat penggubal Undang-undang Tubuh Negeri Perak bahawa, dalam keadaan demikian, terserahlah kepada perayu (Nizar) sama ada hendak melepaskan jawatan atau untuk terus menjadi menteri besar.
Perkara 16 (6) menyebut: “Sekiranya menteri besar tidak lagi mendapat kepercayaan daripada majoriti anggota dewan undangan negeri, maka, melainkan atas permintaannya, Duli Yang Maha Mulia Sultan membubarkan dewan undangan negeri, maka beliau perlu mengemukakan peletakan jawatan keseluruhan anggota majlis eksekutif”.
Arifin berkata perkataan “shall” (dalam Perkara 16 (6)) perlu dilihat sebagai sesuatu yang perlu dilakukan secara mandatori kerana jika tidak, ia akan membawa kepada keadaan politik yang tidak menentu di negeri berkenaan.
Konflik siapakah menteri besar Perak yang sah timbul tahun lepas apabila tiga anggota dewan undangan negeri daripada perikatan DAP-PKR-PAS meninggalkan parti masing-masing untuk menjadi anggota Bebas yang menyokong BN, manakala seorang lagi keluar semula daripada PKR untuk menyertai Umno, lalu menyebabkan BN dan Pembangkang masing-masing mempunyai 28 anggota dalam dewan yang mempunyai 59 kerusi itu.
Mereka ialah Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering), yang meninggalkan PKR pada 30 Jan dan mengisytiharkan diri sebagai anggota Bebas yang menyokong BN. Anggota dewan undangan negeri daripada DAP Hee Yit Foong (Jelapang) mengikut langkah mereka empat hari kemudian.
Nizar, Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, dilantik sebagai menteri besar apabila perikatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi pada pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008.
Bagaimanapun, kerajaan pakatan itu tumbang pada 2 Feb tahun lepas apabila Sultan Azlan Shah menitahkan Nizar supaya berundur setelah baginda mendapat kepastian bahawa BN mempunyai majoriti di dewan undangan negeri itu selepas menemuramah 31 anggota dewan berkenaan.
Sultan Azlan kemudian melantik Zambry, 47, anggota Dewan Undangan Negeri Pangkor, sebagai menteri besar baru bagi menggantikan Nizar.
Nizar memulakan prosiding undang-undang pada 13 Feb tahun lepas bagi mendapatkan perisytiharan bahawa beliau adalah menteri besar Perak yang sah dan satu perintah mahkamah bagi menghalang Zambry daripada melaksanakan tugas sebagai menteri besar.
Nizar kembali menjadi menteri besar selepas beliau memenangi kes itu di Mahkamah Tinggi tahun lepas, yang  memutuskan bahawa BN telah gagal mengemukakan undi tidak percaya terhadap beliau di dewan undangan negeri, walaupun parti gabungan itu mempunyai jumlah anggota majoriti.
Bagaimanapun, keadaan kembali kepada status quo apabila Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu pada 12 Mei dan mengisytiharkan pelantikan Zambry sebagi menteri besar Perak dibuat mengikut perlembagaan.
Dalam penghakiman hari ini, Arifin berkata Mahkamah Rayuan bertindak betul apabila memutuskan bahawa permohonan Nizar untuk membubarkan dewan undangan negeri itu dibuat mengikut Perkara 16 (6) atas alasan beliau telah hilang kepercayaan daripada majoriti anggota dewan dan bukan mengikut Perkara 32 (2),seperti yang didakwa oleh Nizar bagi mengelak kemungkinan timbulnya keadaan buntu di dewan berkenaan.
“Dalam kes ini, hakim perbicaraan gagal menilai secara betul bukti yang ada di hadapan beliau. Kegagalan ini mewajarkan campur tangan rayuan, seperti yang dibuat dengan sewajarnya oleh Mahkamah Rayuan dalam kes ini,” kata Arifin.
Arifin berkata keputusan sama ada dewan undangan negeri patut dibubarkan atau sebaliknya, secara mutlak terletak atas budi bicara sultan dan baginda tidak bertindak atas nasihat majlis eksekutif mengenai pembubarannya.
Zambry tidak hadir di mahkamah hari ini.
Bagaimanapun, setelah penghakiman itu diumumkan, dalam komennya, peguam yang mewakili beliau Datuk Cecil Abraham, berkata penghakiman hari ini terpakai bagi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri lain.
Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata penghakiman itu amat jelas dan dibuat berdasarkan alasan kukuh.
Pengumuman penghakiman yang bermula pada pukul 10.10 itu mengambil masa kira-kira sejam untuk selesai disampaikan.
Zambry diwakili peguam Abraham dan Sunil Abraham, manakala sekumpulan 11 peguam, yang diketuai Sulaiman Abdullah, mewakili Nizar.
Pencelah diwakili timbalan pendakwa raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan peguam kanan persekutuan Datuk Kamaludin Md. Said, Datin Azizah Nawawi, Amarjeet Singh, Suzana Atan dan Andi Razali Jaya A. Dadi.
Cheng Poh Heng bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak Persatuan Peguam Malaysia, manakala sekumpulan peguam yang diketuai Datuk Hafarizam Harun, bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak BN.

* This article is the personal opinion of the writer or publication. The blog owner does not endorse the view unless specified.

No comments:

Post a Comment

Please do sign in as for anonymous comment will not be publish by owner...thanks...

1Malaysia (9) Abdullah Badawi (1) affair (1) Allah (8) Alliance (1) altantuya (1) alternative (1) Anwar Ibrahim (2) article 153 (5) australia (2) BN (13) boycott (1) british (1) bumi (2) chinese (2) clause 2.2 (3) colonial (1) constitution (10) danby (1) DAP (19) defense (1) discrimination (1) DNA (1) DPMM (1) DSAI (43) DSNR (5) economy (2) education (1) engine (1) F-5E/F (1) Father as cadet At King Edward VIII circa 1964 (1) FDI (1) financial (1) flotilla (3) gaza (1) Gerakan (1) Gobalakrisnana (1) harakah (1) Hulu Selangor (1) Ibrahim Ali (1) IDF (1) IMF (1) interfaith (1) Iraq (1) Islam (4) JJ (1) Johor (1) judge (2) KadirJasin (1) karpal (1) Kelantan (1) ketuanan (1) kiasu (1) KJ (5) Ku Li (1) Law (1) LGE (12) liberal (1) LKS (9) MACC (1) Mahathir (3) malay (22) Malaya (2) Malaysia (2) MCA (4) MCKK (1) meb (1) melayu (4) Mindef (1) MP (2) MPM (3) najib (5) Nasir Safar (1) nazri chief (1) Nazrin (1) NEM (3) NEP (21) nga (1) ngo (3) nik aziz (1) nizar (5) NKRA (2) nurul Izzah (1) nut graph (1) PAP (1) parliament (3) PAS (13) Pemuda (4) Penang (9) Perak (8) perkasa (11) Pete (1) petroleum (1) PKR (22) ponder (1) PR (29) Pulau Pinang (1) races (1) racist (3) reid (2) religion (1) reuters (1) rights (1) RLC (1) rmc (2) RMN (1) RPK (9) russia (1) sabah (1) saddam (1) sarawak (1) SBA (2) Singapore (2) sodomy (15) submarine (1) sukhoi (2) TAR (2) TDM (10) tony pua (1) TRH (1) TSMY (1) UMNO (29) USA (2) Utusan (1) vietnam (1) WMD (1) women (1) Zaid (1) Zambry (2) zulkifli nordin (7)

Search This Blog

Powered By Blogger